
Posted on Thursday, October 20 @ 08:07:21 PDT by Paktam
PETALING JAYA, – Tindakan keras kerajaan UMNO-Barisan Nasional dan pihak berkuasa Universiti Islam Antarabangsa terhadap pakar undang-undang Prof Dr Abdul Aziz Bari membuktikan bahawa ruang kebebasan akademik di Malaysia semakin sempit dan kian tertutup.
Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua berkata kerajaan dan UIA perlu menghentikan tekanan dan intimidasi terhadap para ilmuan Malaysia yang berbeza pendapat dengan pihak pemerintah.
Katanya, walau pun DAP tidak semestinya bersetuju dengan pendapat Dr Aziz pada setiap masa, ia adalah hak setiap rakyat di Malaysia untuk mengemukakan pandangan tentang apa-apa perkara berkaitan dengan Perlembagaan Persekutuan, apatah lagi dari sudut pemikiran pakar-pakar dalam bidang berkenaan.
“Amat membimbangkan apabila Prof Dr Aziz Bari dikenakan tekanan yang teruk daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Polis Diraja Malaysia dan UIA.
“Semua tindakan keras itu hanya berpunca daripada Dr Aziz memberikan pendapat dalam bidang yang menjadi kepakarannya iaitu Perlembagaan Malaysia dan undang-undang yang berkaitannya dengannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.