Dr M: Buktikan saya seorang diktator
Oleh Nomy Nozwir
KUALA LUMPUR, 18 Julai — Bekas perdana menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad dalam blognya (www.chedet.cc) mahu mereka yang menuduh beliau sebagai seorang diktator agar membuktikannya.
Di penghujung zaman pemerintahnya, Dr. Mahathir (gambar) diberikan banyak gelaran untuk mengaitkannya dengan pemerintahan kuku besi seperti ‘Mahazalim’, ‘Firaun’ dan ‘Diktator’.
Bekas perdana menteri itu membandingkan dirinya dengan bekas Presiden Mesir yang telah digulingkan, Hosni Mubarak, yang juga dikatakan sebagai seorang diktator yang mengamalkan pemerintahan kuku besi.
Menurut bekas ahli parlimen Kubang Pasu itu, di zaman pemerintahannya, Hosni Mubarak membunuh ribuan ahli Muslim Brotherhood serta memiliki harta kekayaan berjumlah US$70 billion (RM221 billion).