Tuesday, May 24, 2011

Bawa Usul Demonstrasi Dalam Stadium, KDN Terus Halang Kebangkitan Rakyat



Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk membawa usul 
demonstrasi tanpa permit di stadium ke Kabinet bagi 
mengelakkan penganjurannya oleh pihak-pihak tertentu
mengganggu keselamatan dan ketenteraman awam 
disifatkan sebagai taktik kotor kerajaan Umno-Barisan 
Nasional(BN) untuk menggagalkan tujuan sebenar setiap 
demonstrasi tersebut khususnya yang melibatkan parti
pembangkang.




Malah menurut Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad, 
Kerajaan Persekutuan juga secara jelas khuatir setiap 
demonstrasi yang diadakan itu akan menggugat mereka 
sekali gus tidak membenarkan demonstrasi diadakan di 
jalanan.

"Bagi kita, kita yang mahu melakukan demonstrasi. Jika 
demonstrasi itu diadakan di dalam stadium sahaja ia jelas 
sangat jauh dan terpisah daripada orang awam maka setiap 
demonstrasi yang akan diadakan tidak akan tercapai 
matlamatnya." katanya.

Khalid Samad berkata demikian ketika di hubungi Tv 
Selangor bagi mengulas kenyataan Menteri Dalam 
Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien bahawa 
pihaknya akan membawa usul demonstrasi tanpa permit 
di stadium ke Kabinet bagi mengelakkan penganjurannya 
oleh pihak-pihak tertentu mengganggu keselamatan dan 
ketenteraman awam selepas merasmikan Mesyuarat 
Perwakilan Umno Bahagian Simpang Pulai, Johor Bahru, 
semalam.

Hishammuddin berkata, menerusi kaedah itu soal keselamatan 
sepanjang demonstrasi yang berlangsung di stadium 
terbabit akan dipantau sepenuhnya oleh polis.

"Untuk tujuan itu (demonstrasi di stadium) kita akan pinda
akta tertentu dan bawa ke Kabinet melalui Peguam Negara 
untuk kelulusan," katanya.

Hishammuddin berkata demikian sebagai respon kepada 
tindakan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mohamad Sabu 
yang merancang untuk mengadakan demonstrasi Gabungan 
Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), 9 Julai depan.

Parti Pas merupakan antara penganjur Bersih selain PKR, 
DAP dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain, yang pernah 
mengadakan demonstrasi di tempat-tempat awam dan jalanan 
sebelum ini.

Ujar Khalid Samad yang juga AJK PAS Pusat, tujuan utama 
sesebuah demonstrasi itu dianjurkan adalah untuk menarik 
perhatian masyarakat umum akan setiap perkara yang 
diutarakan, dan jika ia dibuat di dalam stadium maka suasana 
demonstrasi akan menjadi hambar yakni seperti menonton 
permainan bola sepak yang hanya boleh bersorak ketika pemain 
menjaringkan gol ke gawang pihak lawan.

Tegas Khalid lagi, setiap demonstrasi yang diadakan oleh
 rakyat semata-mata untuk menyuarakan rasa hati serta 
bantahan mengenai sesuatu perkara yang tidak mendapat
 persetujuan mereka dan bukan untuk membuat kecoh atau 
menimbulkan huru-hara seperti yang diputar-belitkan 
sesetengah media.

"Seharusnya kerajaan pusat tidak menolak hak rakyat untuk
 berkumpul dan mengadakan demonstrasi secara aman bagi 
menzahirkan bantahan mereka terhadap sesuatu tindakan 
pihak kerajaan di jalanraya."ujarnya.

Bagaimanapun Khalid Samad berakata, beliau menyambut 
baik usul tersebut dan berharap kerajaan benar-benar akan 
menggunapakai amalan sistem demokrasi mengikut aturan 
parlimen dan bukannya menyekat hak dan kebebasan rakyat 
di Malaysia.

"Walaupun ini merupakan satu peningkatan dari segi 
amalan demokrasi di Malaysia, namun kerajaan perlu 
pastikan ia benar-benar dilaksanakan dan bukannya 
hangat-hangat 'tahi ayam' kerana sebelum ini di stadium 
juga tidak dibenarkan.Bagaimanapun tunjuk perasaan ini 
mesti dibenarkan di tempat awam juga."katanya.

No comments:

Post a Comment