Mufti Selangor Datuk Tamyes Abd Wahid menyatakan langkah yangdiambil Putrajaya membenarkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab Injil versi Bahasa Malaysia sebagai tindakan yang menodai undang-undang Islam negara Malaysia.
Tamyes menegaskan, undang-undang Islam yang diamalkan selama ini telah diperlekehkan dan dinodai oleh pihak berkuasa termasuk pemimpin kerajaan Malaysia yang beragama Islam.
“Undang-undang Islam telah diperlekehkan dan usaha-usaha perlekehan ini terjadi dari dalam... ini yang sukar kerana Islam boleh rosak apabila ada pihak yang menodai Islam dari dalam pemerintahan.
“Undang-undang Islam ini telah dinodai, ada pihak yang membuat undang-undang tapi mereka sendiri yang melanggar undang-undang yang telah mereka dibuat dan ini adalah satu malapetaka,” katanya kepada The Malaysian Insider.
Kecewa dengan tindakan Putrajaya itu, Tamyes juga mendokong wakil Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria agar undang-undang Islam sebaiknya dibatalkan saja jika Putrajaya masih berkeras dalam isu tersebut.
“Mereka buat undang-undang tapi mereka melanggarnya, sepatutnya undang-undang yang dibuat ini dipatuhi bukan dilanggar dan dinodai seperti ini.
“Undang-undang dinodai oleh orang yang berkuasa... orang yang mempunyai kuasa dalam kerajaan telah melanggar undang-undang yang mereka buat sendiri, kalau begini caranya hapuskan saja undang-udang Islam yang ada saat ini,” kata Harussani Zakaria menegaskan.
Beliau juga menyebut langkah Putrajaya itu merupakan satu permainan politik yang jelas semata-mata ingin mendapatkan dokongan rakyat terutama penganut Kristian.
“Jika tiba menjelang pilihan raya sesuatu seperti ini selalu terjadi, ini adalah satu permainan politik yang jelas.
“Pendirian saya sangat jelas dalam perkara ini, undang-undang Islam tidak boleh dilanggar tapi yang berlaku sekarang justeru hal itu dinodai oleh orang Islam sendiri... undang-undang Islam telah dinodai,” katanya.
Tamyes menambah beliau berharap agar Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Fatwa Kebangsaan akan memandang serius akan perkara tersebut.
Sedangkan wakil Mufti Perak menegaskan sekiranya Putrajaya membuat keputusan untuk membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil itu, maka secara automatik aturan agama Islam yang tidak membenarkan agama lain menggunakan istilah eksklusif bagi agama Islam menjadi batal.(malaysiainsider)
No comments:
Post a Comment