Thursday, January 27, 2011

Kain Merah Dibelakang Lori Balak Mesti Ada Permit


Kibar bendera parti politik pada kenderaan salah

BERNAMA

LABIS: Ramai penyokong parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mengibarkan bendera parti pada kenderaan mereka adalah menyalahi undang-undang kerana menyamai aktiviti berkempen.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan, Abdul Majid Mohd Ali, berkata parti-parti politik perlu mendapatkan permit terlebih dahulu untuk berkempen, justeru tindakan pengguna kenderaan mengibarkan bendera parti pada kenderaan masing-masing adalah salah kerana tidak mempunyai permit untuk berbuat demikian.

Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau mengingatkan pengguna kenderaan supaya berhenti daripada melakukan perbuatan itu sebelum tindakan diambil ke atas mereka.

Sebelum ini, katanya, polis mengambil tindakan secara berhemah dengan hanya merampas kayu yang digunakan pengguna kenderaan untuk mengibarkan bendera dan mengembalikan bendera kepada mereka.

Beliau berkata, selepas peringatan ini diberi, polis akan bertindak lebih tegas kepada sesiapa sahaja yang engkar.

Abdul Majid berkata, polis turut mempunyai senarai nama individu yang dijangka melakukan kekacauan menjelang hari mengundi pada Ahad ini.

Individu-individu tersebut, menurut beliau, akan diperhatikan setiap masa dan akan ditahan sekiranya didapati menggugat ketenteraman awam.

Tanpa mengulas secara terperinci, beliau berkata, individu-individu terbabit terdiri daripada penduduk tempatan dan dari luar daerah.

"Jangan cabar polis kerana kita sudah bersedia 100 peratus untuk pilihan raya ini daripada segi logistik dan kekuatan anggota," katanya.

Abdul Majid berkata, sehingga kini, perjalanan kempen pilihan raya kecil ini sangat tenang jika dibandingkan dengan tempat lain memandangkan tiada kekacauan atau ketegangan yang serius berlaku.

Jentera parti Barisan Nasional (BN) dan PAS mematuhi peraturan kempen termasuk menamatkan ceramah pada jam 12 tengah malam.

No comments:

Post a Comment